Transformasi WIDAD University College

WIDAD University College men­catatkan sejarah baharu dalam sektor pendidikan tinggi swasta di negara ini apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dimasyhurkan sebagai Canselornya yang pertama pada Isnin lalu.

Seri Paduka ketika bertitah dalam istiadat pemasyhuran tersebut di Istana Negara berharap agar pengurusan Widad University College memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan reputasi di pentas antarabangsa.

Bagi mencapai matlamat ber­kenaan, Tuanku Abdul Halim bertitah, bidang pengajian sains seperti perubatan, pergigian serta farmasi perlu diperkasakan agar Widad University College setanding dengan universiti lain di dalam dan luar negara.

Hasrat Seri Paduka itu adalah selaras dengan visi Widad University College iaitu menjadi sebuah institut pengajian tinggi berkua­liti, bertaraf antarabangsa yang melahirkan profesional cemerlang di peringkat global.

Seperti yang dijelaskan oleh Pengerusi Eksekutif Widad Business Group, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah, pengurusan kolej universiti berkenaan sentiasa peka terhadap perubahan dan kehendak pasaran semasa.

“Widad University College sentiasa menawarkan program-program yang lebih relevan dan terbaik serta sesuai dengan peredaran masa,” katanya.

Kolej universiti tersebut juga mengalami proses transformasi yang mantap sejak ditubuhkan 19 tahun lalu. Bermula dengan nama Institut Fitra sebelum bertukar kepada Kolej Shahputra, University College Shahputra (UCSA) dan kini Widad University College.

Proses transformasi sejak 1997 itu bukan sekadar pada nama. Penambahbaikan berterusan sentiasa dilakukan dari segi program yang ditawarkan serta penyediaan infrastruktur dan kemudahan di kampus.

Widad University College yang terletak di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang kini menawarkan lebih 20 program peringkat sijil, diploma dan ijazah serta telah melahirkan hampir 30,000 graduan.

Muhammad Ikmal menambah, transformasi Widad International College tidak terhenti setakat itu. Malah, usaha tersebut terus dipergiat untuk memperkukuhkan kualiti graduan, hubungan dengan industri dan prestasi secara keseluruhan.

Beliau menggariskan tiga strategi utama bagi merealisasikan transformasi tersebut:

  1. Mewujudkan rantaian nilai yang lengkap dengan membina sebuah kampus induk baharu dan menubuhkan Widad Specia­list Centre bagi mengupayakan Widad University College sebagai peneraju dalam kalangan institusi pengajian tinggi swasta yang menawarkan program sains kesihatan, perubatan dan farmasi.
  2. Mempertingkatkan penyer­taan pelajar antarabangsa dan menarik lebih ramai pelancong asing dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelanco­ngan kesihatan sekali gus mempercepatkan pencapaian hasrat kerajaan menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan serantau serta destinasi pelancongan pilihan.
  3. Memperkukuh pendekatan pembelajaran dan usaha kolaboratif dengan industri bagi meningkatkan daya keusahawanan dan kebolehpasaran graduan sekali gus menjadi pemangkin kepada perubahan minda graduan daripada mencari pekerjaan kepada mewujudkan pekerjaan.

Beliau percaya semua strategi tersebut akan lebih bermakna dengan sokongan padu daripada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Kami berharap kuota bagi jurusan perubatan, farmasi dan pergigian dinaikkan bagi menampung pertambahan bilangan pelajar serta keperluan pasaran pada masa hadapan,” jelasnya.

Pengurusan Widad University College turut merancang untuk menaik taraf intitusi tersebut kepada status universiti serta menambah program-program baharu sehingga peringkat sarjana dan doktor falsafah.

“Kami juga mempunyai perancangan untuk membina sebuah kampus tetap di Kuala Lumpur,” kata Muhammad Ikmal.

Semua perancangan itu dirangka dengan matlamat melahirkan gra­duan yang holistik, dinamik, berketrampilan, berilmu serta menyumbang ke arah pembangunan bangsa dan negara yang berwawasan.

Mobile Menu Links