Seminar Perubatan F1 Memacu Keselamatan Sukan Permotoran Negara

Sempena Kejohanan Grand Prix Formula 1 Malaysia 2016, satu seminar perubatan telah diadakan pada 27 dan 28 September 2016 bertempat di Empress Hotel, Sepang. Seminar yang bertemakan “F1 Pit Stop Technique in Resuscitation” telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Nasir Mat Dam, Pengerusi Lembaga Pengarah, Widad University College. Ia turut dihadiri oleh Mejar General Professor Dato’ Dr Mohd Zin Bidin, Ketua Pegawai Perubatan F1 Malaysia, Dato’ Mohd Rizal Mohd Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Widad Business Group, dan Encik Muhammad Sabir Muhammad Sabri, Ahli Lembaga Pengarah Widad University College, sebagai tetamu jemputan.

Seminar Perubatan Sukan Permotoran ini telah diadakan setiap tahun sejak 18 tahun yang lepas bermula pada tahun 1999 dan telah berjaya menghasilkan lebih 3,600 doktor dan paramedik yang terlatih dalam pengendalian trauma sukan permotoran. Tahun ini menyaksikan penyertaan seramai 250 orang peserta seminar yang didedahkan dengan kemahiran secara praktikal dari aspek driver extrication, airway management, c-spine stabilization dan cardiopulmonary resuscitation (CPR). Pasukan ini juga dilatih untuk berhadapan dengan keadaan getir dan sentiasa berwaspada untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku semasa perlumbaan Formula 1.

Pasukan perlindungan perubatan F1 ini merupakan satu-satunya pasukan perlindungan perubatan sukan permotoran yang berjaya mendapat pengiktirafan ISO. Pengiktirafan ini adalah hasil kerjasama berpasukan, kecepatan memberikan tindak balas serta kemampuan untuk bertindak dengan pantas ketika menghadapi sesuatu kemalangan.

Pada tahun ini, pihak penganjur menggunakan strategi lautan biru dan berjaya mewujudkan kolaborasi pelbagai sektor dengan Universiti Sains Malaysia, Widad University College, Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Pasukan Bomba & Penyelamat Malaysia.

Bagi meluaskan perkongsian pengetahuan serta melatih lebih ramai individu yang mahir dalam bidang perubatan sukan permotoran, satu kerjasama antara Persatuan Perubatan Sukan Permotoran & Trafik Malaysia dengan Widad University College telah diadakan. Untuk ini, Kursus Motorsports Trauma Life Support telah dirangka khusus untuk individu yang terlibat dalam pengendalian kes-kes kemalangan di litar perlumbaan, termasuk juga di jalan-jalan raya.

Mobile Menu Links