Sasar pengajian tinggi terbaik - Kolej Universiti Widad

Kolej Universiti Widad cipta sejarah tersendiri


Pelantikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Canselor Kolej Universiti Widad di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, di Kuala Lumpur pada 19 September lalu berjaya meningkatkan prestij institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu dan merupakan antara usaha ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

Meskipun nama Kolej Universiti Widad mungkin agak baharu tetapi IPT tersebut sebenarnya sudah bertapak di negara ini sejak 13 tahun lalu. Dalam tempoh tersebut, IPT tersebut telah mengalami pelbagai transformasi bukan sahaja dari segi nama, malah prasarana dan program pengajian yang ditawarkan.

Bermula dengan Institut Fitra yang ditubuhkan di Pekan, Pahang pada 1997 sebelum bertukar nama kepada Kolej Shahputra, Universiti College Shahputra (UCSA) dan kini sebagai Kolej Universiti Widad. Lokasi IPTS itu juga telah berubah dari Pekan ke Bandar Indera Mahkota di Kuantan.

Kolej Universiti Widad kini menawarkan lebih 20 program di peringkat sijil, diploma serta ijazah. Sehingga kini, lebih 30,000 graduan telah dilahirkan.

Kolej Universiti Widad dimiliki sepenuhnya oleh Widad Business Group, diasaskan oleh Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah pada tahun 2002 dan menjalankan perniagaan teras merangkumi bidang pendidikan, penerbitan, bidang pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu di Istana Negara, JB Sentral, pembangunan hartanah selain projek akuakultur di Pulau Bumbon, Langkawi serta hospitaliti.

Widad Business Group juga mempunyai pengalaman yang luas sejak tahun 2006 dalam bidang pendidikan melalui penerbitan majalah Pendidik. Produk ini menyasarkan golongan pendidik iaitu para guru sekolah dengan menyediakan tip-tip berguna selain bahan bacaan sampingan. Majalah ini turut menjadi medium aspirasi antara kerajaan dengan para pendidik.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Widad, Datuk Nasir Mat Dam, pelbagai perancangan telah dan sedang dibuat bagi menjadikan Kolej Universiti Widad sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang bertaraf universiti penuh.

Katanya, ini termasuklah menambah baik kampus sedia ada yang kini menampung 4,000 orang pelajar bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa, di samping akses yang lebih mudah kepada peralatan perubatan bagi tujuan ulang kaji dan juga penyelidikan dan pembangunan.

“Kampus yang disediakan kepada pelajar di Pahang akan dibangunkan lengkap dengan kemudahan peralatan dan mesin perubatan supaya menjadi kampus yang lebih bersepadu di mana para pelajar boleh mengakses ilmu dengan lebih mudah.

“Pihak kolej gigih berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan meningkatkan jumlah pelajar dengan tenaga pengajar berkualiti untuk menjadi sebuah universiti sepenuhnya dalam jangka masa tiga ke lima tahun yang akan datang,” katanya.

Selain itu, kata Nasir, sebuah hospital pakar juga akan dibina dan hospital itu bukan sahaja akan menjadi tempat untuk pelajar perubatan menjalani latihan amali, malah memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Dengan ini, pelajar antarabangsa tidak lagi perlu menjalani latihan amali perubatan di negara masing-masing kerana mereka boleh melakukannya di hospital yang disediakan,” katanya sambil menambah pada masa ini terdapat lima buah hospital panel yang menerima pelajar Kolej Universiti Widad untuk menjalani latihan amali.

Di samping itu, Kolej Universiti Widad merancang membina sebuah kampus baharu di Kuala Lumpur bagi menampung pelajar kursus pengajian perniagaan, perakaunan dan beberapa kursus lagi. “Kita turut menya­sarkan pening­katan pelajar dari dalam dan luar negara dalam usaha menjadikan Kolej Universiti Widad bertaraf antarabangsa,” kata Nasir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Rizal Mohd. Jaafar memberitahu, Kolej Universiti Widad menawarkan program-program yang lebih relevan dan sesuai dengan keperluan pasaran semasa.

Katanya, fokus Kolej Universiti Widad adalah lebih kepada menyediakan pelajar untuk bidang perubatan dan sains kesihatan bersekutu. “Ini adalah seiring dengan pelan pembangunan lima tahun Widad Business Group dalam menyediakan modal insan yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang sains perubatan,” ujar beliau.

Mohd. Rizal berkata, antara rancangan Widad termasuk mengembangkan perniagaan yang disusun termasuk menyediakan perkhidmatan pelancongan perubatan selari dengan hasrat kerajaan menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan serantau serta destinasi pelancongan pilihan.

Selain daripada kursus perubatan dan sains kesihatan bersekutu, Kolej Universiti Widad juga turut membangunkan program perniagaan, hospitaliti, pelancongan dan perakaunan serta pendidikan awal kanak-kanak.

Mobile Menu Links