Widad Business Group-Utusan sedia jalin kerjasama

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kumpulan Widad Business Group bersedia menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Utusan sebagai satu langkah awal menuju persefahaman bagi berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang pendidikan, pencetakan dan kewartawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Widad Business Group, Datuk Mohd. Rizal Mohd. Jaafar berkata, salah satu kerjasama yang boleh dilihat dengan lebih terperinci adalah bagaimana untuk merapatkan jurang antara universiti dengan industri.

Selain daripada itu, Mohd. Rizal berkata, kerjasama juga boleh dilaksanakan daripada sudut mempromosikan pusat pengajian tinggi di bawah mereka, Kolej Universiti Widad serta bidang pencetakan me­mandang­kan mereka turut mem­punyai media cetak sendiri iaitu majalah Pendidik.

“Sebagai salah satu kolej universiti yang mempunyai bidang kewartawanan, kami melihat Kumpulan Utusan sebagai satu organisasi media cetak yang sudah lama bertapak, boleh memberi pendedahan berkenaan dunia kewartawanan kepada pelajar kami.

“Kita boleh membincangkan de­ngan lebih teliti berkenaan perkongsian program khas atau kepakaran khusus dalam bidang pendidikan, pencetakan dan kewartawanan yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata de­mikian dalam perbincangan de­ngan kumpulan Utusan sebelum meninjau operasi Jabatan Pengarang Utusan Malaysia dan Kosmo! di sini hari ini.

Seramai 42 pelajar Kolej Universiti Widad dan beberapa pengurusan kanan Kumpulan Widad Business Group hadir dalam sesi lawatan itu.

Kumpulan Widad Business Group diwakili pengurusan ka­nannya termasuk Mohd. Rizal; Pengarah Kumpulan, Datuk Nasir Mat Dam; Ketua Pegawai Eksekutif Shahputra Education Sdn. Bhd., Mohamad Sabir Mohamad Sabri dan Naib Canselor Kolej Universiti Widad, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin.

Kehadiran delegasi Kumpulan Widad Business Group di­sambut pengurusan kanan Kumpulan Utusan iaitu Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang, Datuk Othman Mohamad; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Penolong Pengarang 2 Kosmo!, Lokman Othman.

Mobile Menu Links